Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Suami isteri dipenjara 24 tahun sebabkan kematian pembantu rumah Kemboja




GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri dihukum penjara 24 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mendera pembantu rumah warga Kemboja sehingga menyebabkan kematian tahun lepas.

Pemilik kedai perkakasan, Soh Chew Tong, 44, dan isterinya Chin Chui Ling, 41, didakwa menyebabkan kematian pembantu rumah mereka, Sichan Mey, 24, di premis bernombor 2190 Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak dekat sini antara 1 Jan dan 1 April tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut pertuduhan pindaan iaitu Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, 1 April 2012.

Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman itu diputuskan selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

"Selepas mendengar kes pendakwaan dan pembelaan, saya mendapati pasangan ini bersalah dan gagal dalam menyediakan serta memastikan penjagaan yang betul untuk kesihatan pembantu rumah mereka,” katanya.

Zamani turut menasihati rakyat Malaysia supaya menjaga kebajikan pembantu rumah sebaik mungkin selain menjadi masyarakat yang penyayang. - Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0516&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_30.htm#ixzz2TT2UBkZb
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment