Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Sorok ganja dalam guni


Shah Alam: Helah dua lelaki yang menyorokkan ganja mampat seberat 15 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM40,000 dalam kotak dan guni sebelum dibawa menggunakan motosikal, gagal apabila mereka ditahan polis di tepi jalan Dataran Pandan Prima, Ampang, Sabtu lalu.

Kedua-dua suspek berusia 20 dan 33 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ketika menunggang motosikal dipercayai untuk mengedar dadah berkenaan.


Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, penahanan kedua-dua suspek masing-masing seorang pekerja swasta dan penganggur itu dibuat selepas polis melakukan intipan kerana mereka dipercayai aktif mengedar dadah di daerah berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menjadikan kawasan sekitar Lembah Klang sebagai lokasi pengedaran dadah sejak enam bulan lalu. “Pada mulanya, polis menemui 10 peket dadah berkenaan disorokkan di dalam sebuah kotak manakala baki lima peket disorok dalam guni dan diletakkan dalam bakul motosikal yang mereka tunggangi. “Kita percaya suspek memperoleh dadah berkenaan daripada negara jiran dan akan mengedarkannya kepada individu tertentu di kawasan Lembah Klang,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, semalam. Katanya, dadah seberat 15 kg yang dirampas boleh dijual kepada 3,000 penagih dengan harga sepaket RM50 untuk berat lima gram sekaligus membolehkan mereka memperoleh pendapatan RM150,000. Mereka kini direman tujuh hari bermula Ahad lalu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

No comments:

Post a Comment