Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Seorang lagi ditahan kes bunuh TKP Kastam



KUALA LUMPUR 15 Mei - Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lalu.
Penahanan itu menjadikan seramai dua individu ditahan polis setakat ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek terbaharu yang ditahan tersebut berusia 37 tahun dan bekerja sebagai penjual alat ganti kereta.
"Dia ditahan di sekitar ibu negara pada pukul 2 petang semalam. Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek yang berasal dari Kedah pada hari ini untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, Shaharuddin mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.
Shaharuddin cedera di leher dan kepala setelah terkena tiga das tembakan sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9.20 pagi di Hospital Putrajaya.
Ekoran itu, polis telah merakam keterangan 35 individu termasuk warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan orang awam bagi membantu siasatan kes tersebut.
Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 56 tahun di Petaling Jaya, Selangor, pada Sabtu lalu untuk membantu siasatan kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130516/je_02/Seorang-lagi-ditahan-kes-bunuh-TKP-Kastam#ixzz2TOz6BlKM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment