Search This Blog

Wednesday, May 15, 2013

Selamba usung mesin basuh



Kota Bharu: Seorang lelaki nekad mengusung mesin basuh seberat 20 kilogram (kg) ketika melarikan peralatan elektrik itu yang dipamerkan untuk promosi di sebuah kedai barangan elektrik di Kubang Kerian, petang Sabtu lalu.

Gelagat pencuri kira-kira jam 3.30 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit.


Difahamkan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri, mengangkat dan mengusung mesin basuh berkenaan yang diletak di kaki lima kedai.

Perbuatannya dirakam selama 20 saat sebelum terkeluar daripada jangkauan rakaman.


Pemilik kedai Mahmood, 44, berkata, dia tidak menyangka lelaki terbabit begitu terdesak kerana melarikan mesin basuh ketika kedai masih beroperasi menyebabkan dia kerugian RM600.


“Walaupun barang elektrik yang dicurinya tidak bernilai besar, saya geram. Wajah pencuri itu jelas kelihatan dalam rakaman CCTV,” katanya.

Menurutnya, itu kejadian pertama berlaku di kedainya dan dia akan mempertingkatkan tahap keselamatan selepas ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi menasihatkan pemilik kedai sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

No comments:

Post a Comment