Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Seksa angkara hutang 2 rakan



Kuala Terengganu: Gara-gara dua rakannya gagal melunaskan hutang, seorang buruh bukan saja dijadikan tebusan, malah diseksa hingga cedera akibat ditembak menggunakan senapang angin selain paha ditoreh dalam kejadian di Kampung Batu Putih, Pulau Serai, Dungun, Khamis lalu.

Bagaimanapun, penderitaan mangsa yang berusia 27 tahun dari Kampung Tanjung Pagar, Dungun berakhir tujuh jam kemudian selepas berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan penduduk kampung selepas dibuang ke dalam semak dalam keadaan kedua-dua tangan diikat dan mulut disumbat dengan kain.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berada di rumah rakannya di Kampung Rajawali, Dungun didatangi empat lelaki dikenali kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, empat suspek dipercayai datang ke rumah berkenaan untuk mencari rakan mangsa, namun ketika itu, hanya mangsa yang ada di rumah berkenaan.


“Suspek dikatakan bertanyakan beberapa soalan kepada mangsa dan kegagalan mangsa memberitahu di mana rakannya menyebabkan seorang daripada suspek melibas parang di belakang badan mangsa sebelum membawanya ke kawasan semak.


“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa berjaya melarikan diri sebelum bersembunyi dalam semak, namun seorang daripada suspek melepaskan tembakan dan terkena pada dada kiri dan betis kanan mangsa menyebabkannya terpaksa menyerah diri.

“Kedua-dua tangan mangsa kemudian diikat sebelum mulut disumbat dengan kain dan dibelasah lalu ditinggalkan bersendirian di kandang lembu berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.


Katanya, mangsa yang kesakitan berjaya membuka ikatan tangannya sebelum mendapatkan bantuan penduduk kampung, jam 3 petang keesokannya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesan torehan di kedua-dua paha, lebam di muka dipercayai ditumbuk dan kesan tembakan di dada kiri dan betis kanan mangsa selain cedera di bahagian belakang dipercayai akibat dilibas dengan senjata tajam.


“Mangsa yang pada mulanya dihantar ke Hospital Dungun kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, untuk rawatan lanjut termasuk mengeluarkan bebola dipercayai peluru senapang angin. “Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tidak puas hati disebabkan hutang dalam urusan jual beli dadah antara suspek dengan rakan mangsa.


“Namun, disebabkan dua rakan mangsa berusia 20-an gagal dikesan, keempat-empat suspek berusia antara 23 hingga 29 tahun itu menjadikan mangsa sebagai sasaran melepas geram,” katanya.


Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan senjata seperti badik, parang, pisau Rambo dan senapang angin.


Katanya, dua rakan mangsa berusia 20-an sudah dipanggil untuk membantu siasatan dan identiti keempat-empat suspek juga sudah dikenal pasti.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 367 kanun sama kerana menculik atau melarikan orang dengan tujuan mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

No comments:

Post a Comment