'Saya yakin mereka masih hidup'
Norlida menunjukkan gambar suaminya, Mazlan Mohamad yang hilang di laut selepas keluar mencandat sotong.
'Saya yakin mereka masih hidup'
Wan Burhanudin (kanan) memaklumkan perkembangan terbaru keluarga pemancing yang hilang di laut di Jeti Kampung Dalam Rhu.
TUMPAT – “Saya yakin adik dan abang saya masih hidup…..semalam saya bermimpi adik meminta saya tambahkan kredit telefonnya,” kata Nurfazuani Suhaimi, 24, kakak kepada Mohd Firdaus, 18 yang hilang di laut sejak tiga hari lalu.

Nurfazuani berkata, mimpi itu memberi petunjuk bahawa adik dan abangnya, Mohd Fadzuan, 25 masih hidup dan tidak menolak kemungkinan bot mereka memasuki perairan Thailand selepas hilang di laut ketika keluar mencandat sotong.

“Bila saya sedar dari mimpi jam 3.30 pagi, saya terus tambah kredit RM5 kepada telefon adik saya itu.

“Saya terus menghubunginya tetapi panggilan itu dijawab oleh operator Thailand,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Dalam Rhu, semalam.

Menurutnya, dia terus memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perkembangan terbaru itu untuk menjejaki adik dan abangnya yang hilang di laut.

Semalam dilaporkan empat pemancing hilang di laut ialah Mohd Fadzuan Suhaimi, 25 dan adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, dari Kampung Dalam Rhu, sepupu mereka, Mohd Osman Mohamad, 36  dari Kampung Morak dan pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka dikesan turut bersama kumpulan pemancing yang hilang tersebut dikenali Mazlan Mohamad, 44, dari Kampung Wakaf Che Yeh.

Mereka menaiki bot fiber mencandat sotong di perairan ini dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu  kira-kira jam 2 pagi, Jumaat lalu.

Sementara itu, isteri Mazlan, Norlida Abdul Aziz, 46, berkata dia membuat laporan polis pada petang Sabtu di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat selepas dua hari suaminya tidak pulang dari mencandat sotong.

“Biasanya setiap kali suami saya keluar memancing di laut, dia akan balik hari, tetapi kali ini tidak. “Apabila dua hari dia tidak pulang saya terus membuat laporan polis, lebih merisaukan saya apabila telefonnya tidak dapat dihubungi selepas tiga jam dia keluar memancing,” katanya.

Kehilangan lima pemancing tersebut turut merisaukan abang Mohd Masdi, Che Ibrahim Che Hassan, 42, kerana sudah tiga hari mereka berada di tengah laut tanpa sebarang berita.

Che Ibrahim berkata, Mohd Masdi memang kaki pancing kerana setiap minggu dia akan turun ke laut memancing.

“Saya mendapat tahu adik saya hilang di laut selepas isterinya, Rohayu Ishak menelefon memberitahu Mohd Masdi tidak pulang selepas keluar memancing di laut. “Saya terus datang ke rumah keluarga Mohd Fadzuan di sini bertanya khabar dan mereka juga dalam keadaan risau kerana tidak dapat menghubungi mereka,” katanya.

Menurutnya, dia berharap adiknya bersama empat lagi rakannya ditemui dalam keadaan selamat oleh anggota penyelamat.

Sementara itu, APMM menumpukan usaha mencari lima pemancing yang dilaporkan hilang tiga hari lalu sehingga lebih 100 batu nautika persegi dari Kuala Takbai, Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Besar, di Kota Bharu.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Kelantan, Kepten Maritim, Wan Burhanudin Yusof berkata, usaha mencari juga ditumpukan di tukun Shaari iaitu 25 batu nautika dari Tumpat merupakan lokasi tumpuan pemancing mencandat sotong.

“Bagaimanapun pemancing yang dilaporkan hilang tidak ditemui di kawasan tersebut walau pun usaha mencari turut dilakukan 10 batu nautika sekitar tukun tersebut.

“Malah nelayan yang turun ke laut tidak terserempak dengan bot yang dinaiki pemancing tersebut di sekitar kawasan itu,” katanya pada sidang media di Jeti Kampung Dalm Rhu, di sini, semalam.

Wan Burhanudin berkata, operasi mencari lima pemancing tersebut diteruskan apabila APPM meminta bantuan Polis Marin Diraja Thailand dikhuatiri mangsa memasuki perairan Thailand.

“Operasi mencari diteruskan dengan bantuan sebuah bot Polis Marin Diraja Thailand, sebuah bot Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, tiga bot APMM dan sebuah pesawat udara (bombardier).

“Operasi mencari pemancing yang hilang juga turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.