Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

'Saya rasa tak sedap hati'

'Saya rasa tak sedap hati'  Keadaan rumah sewa Khairuddin dan Mariana di Sungai Boh yang hangus selepas kebakaran, petang kelmarin.
SERKAT - Seorang ibu tidak menyangka tindakan membawa anaknya yang berusia dua tahun ke tandas yang terletak di luar rumah menyelamatkan nyawa mereka, apabila kediaman mereka terbakar di Kampung Sungai Boh, Serkat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Mariana Saad, 21, tergerak hati untuk membawa  bersama anaknya, Rasul Iman ke tandas.

“Saya sebenarnya jarang membawa anak saya itu bersama ke tandas memandangkan ia terletak di luar rumah.

“Tetapi pada petang itu saya rasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu yang buruk hendak berlaku, saya seperti  tidak mahu berenggang  dengan anak itu,” katanya.

Jelasnya, dia terkejut melihat api sedang marak di bahagian dapur sebaik sahaja keluar dari tandas beberapa minit kemudian.

Menurutnya, dia terus menjerit meminta tolong dan jiran datang membantu untuk memadam kebakaran tetapi api marak menjulang tinggi membakar rumah kayu kami itu.

“Tiada apa yang sempat diselamatkan. Semua dokumen penting seperti kad pengenalan, surat nikah dan sebagainya hangus dijilat api memandangkan cuaca panas dan kering ketika itu,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, ketika kejadian suaminya, Khariruddin Atan, 44, sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Tanjung Bin.

Menurutnya, dia masih terkejut dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah sewa mereka itu.

“Sudah dua tahun kami tinggal di situ dengan kadar sewa RM100 sebulan.

“Sementara waktu ini, kami sekeluarga menumpang di rumah bapa saudara suami di Kampung Sungai Boh sebelum memikirkan untuk mencari rumah sewa lain,” katanya.

Beberapa pihak telah menghulurkan bantuan kepada keluarga ini antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pontian, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng dan Adun Kukup, Suhaimi Salleh.

1 comment: