Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Samun: Polis tahan dua warga tempatan, 4 lelaki Indonesia


A. THAIVEEGAN (kanan) melihat barangan curi yang ditemui semula selepas menahan enam suspek di Sri Andalas, Klang pada sidang media IPK Selangor, Shah Alam hari ini. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
SHAH ALAM 22 Mei - Polis Selangor menahan sepasang suami isteri rakyat tempatan dan empat lelaki Indonesia di Sri Andalas, Klang dekat sini semalam selepas disyaki menyamun sebuah rumah di Seksyen 15 di sini.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, kesemua suspek yang berusia antara 25 dan 38 tahun itu ditahan pada 9.30 pagi selepas polis menyiasat kejadian pecah rumah yang dilapor pada 4.20 pagi sama.
Hasil penahanan itu, polis menemui tiga bilah parang, pemutar skru, pemotong dawai, dua komputer riba, 18 telefon bimbit, 22 jam tangan, barangan kemas dan wang tunai RM43,000, katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebahagian daripada barangan rompakan itu adalah daripada sebuah rumah yang disamun di Mantin, Negeri Sembilan beberapa hari lepas.
Polis akan memanggil mangsa itu bagi mengenal pasti barangannya, katanya.
Dalam kes berasingan, Thaiveegan berkata, polis juga menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 33 tahun di Dataran Pandan Prima, Ampang dekat sini setelah dipercayai cuba mengedar dadah.
Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang suspek, polis menemui satu guni dan satu kotak yang mengandungi 15 ketulan daun-daun kering disyaki ganja seberat 15 kilogram yang dianggar bernilai RM150,000, katanya.
Kedua-dua lelaki itu juga positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan enam kes dadah dan satu kes menyimpan barangan curi.
Mereka ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130522/je_07/Samun-Polis-tahan-dua-warga-tempatan-4-lelaki-Indonesia#ixzz2U4GoevT0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment