Bangunan Plaza Rana
Bangunan Plaza Rana sebenarnya dibina mengikut reka bentuk sebuah kompleks membeli-belah.
DHAKA - Sebuah kilang pakaian lapan tingkat di Savar, pinggir Dhaka, Bangladesh yang runtuh bulan lalu, mengakibatkan lebih 580 orang terbunuh dilaporkan dibina mengikut reka bentuk pusat membeli-belah dan bukannya kilang.

Ketua arkitek dan profesor universiti tempatan, Masood Reza berkata, pelan asal Plaza Rana pada 2004 membabitkan binaan bangunan enam tingkat adalah tidak sesuai untuk menempatkan muatan besar serta jentera berat seperti mesin tekstil.

Berdasarkan rakaman video yang ditontonnya, Reza berkata, beliau dapat merasakan kesakitan dan azab ditanggung mangsa ketika runtuhan itu, laporan dipetik daripada AFP.

"Saya melihat mangsa-mangsa yang masih hidup menangis dan merayu pertolongan selepas parah dihempap runtuhan bangunan," katanya.
Beliau menambah, pemilik bangunan Sohel Rana yang kini berhadapan pertuduhan mengakibatkan kematian ratusan pekerja kilang selain melanggar undang-undang pembinaan bangunan itu harus menerima hukuman berat.