Search This Blog

Tuesday, May 7, 2013

Russia risau krisis Syria merebak



Moscow: Russia semalam berkata, negara itu bimbang terhadap kemungkinan yang semakin meningkat bagi berlakunya campur tangan asing di Syria ekoran laporan Israel menyerang negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar Russia Alexander Lukashevich berkata, Russia sangat bimbang dengan kecenderungan ditunjukkan di seluruh dunia untuk melakukan campur tangan bersenjata di Syria.


“Kebimbangan ini antara lain berpunca daripada laporan media mengenai dakwaan penggunaan senjata kimia dalam konflik yang setakat ini mengorbankan lebih 70,000 orang sejak dua tahun lalu,” katanya. Sejak sekian lama Russia adalah sekutu Syria dan menjadi pembekal senjata untuk Damsyik.


Moscow juga sentiasa melindungi Presiden Bashar al-Assad daripada tindakan antarabangsa dengan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Lukashevich berkata, Russia turut menganalisis “laporan serangan udara Israel pada 3 dan 5 Mei di beberapa lokasi di pinggir Damsyik yang menyebabkan kebimbangan khusus.” Katanya, peningkatan ketara konfrontasi bersenjata di Syria berisiko untuk mencipta kawasan ketegangan tambahan di Syria, Lubnan.


“Ia juga mungkin menyebabkan ketidakstabilan persekitaran yang secara relatifnya tenang di sempadan Lubnan - Israel,” katanya. Menurut Lukashevich, sebarang tindakan mengatarabangsakan konflik dalaman yang sangat berbahaya dan merosakkan mesti dihalang. Justeru, katanya, Russia menggesa usaha bersungguh-sungguh bagi memperbaiki keadaan di Syria melalui cara aman perlu dilakukan.

Kerajaan Presiden Bashar al-Assad mengutuk serangan udara Israel sebagai “pengisytiharan perang” dari Israel dan mengancam bertindak balas terhadap negara rejim Zionis itu.- Reuters

No comments:

Post a Comment