Rumah retak, siling bocor
Haminah kesal apabila rumahnya yang siap Februari lalu mengalami keretakan (dalam bulatan) pada bahagian dinding dan beberapa lagi kerosakan lain.
ROMPIN - Seorang peminjam Tabung Perumahan Peneroka Felda kesal dengan sikap lepas tangan sub kontraktor yang menjalankan kerja mengubah suai dan pembesaran rumahnya di Felda Keratong 4, di sini, yang didakwa berlaku banyak kerosakan sejak kediamannya itu siap Februari lalu.

Haminah Daud, 52, berkata, dia membuat pinjaman RM40,000 untuk mengubahsuai rumahnya, namun apabila siap, ia tidak seperti diharapkan.

Dakwanya, kerja pembinaan yang dijalankan tidak mengikut spesifikasi menyebabkan dinding rumahnya retak dan siling bocor.

"Saya percaya dinding retak kerana sub kontraktor gunakan kayu lama dengan alasan masih boleh digunakan, sedangkan pihak pengurusan Felda mengarahkan agar ia diganti baru.

“Saya tidak faham kenapa mereka masih gunakan tiang kayu lama, sepatutnya guna yang baru supaya lebih kukuh dan tidak berlaku keretakan selepas ia siap dibina,” katanya ketika ditemui, di sini.

Haminah berkata, lebih malang, sub kontraktor yang dilantik sebuah koperasi Felda untuk kerja pengubahsuaian itu seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab walaupun sudah beberapa kali aduan dibuat kepada pihak terbabit.

“Sudah tiga bulan masalah ini, tetapi masih tiada tindakan diambil. Dia (sub kontraktor) seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga tanpa memikirkan masalah yang saya hadapi,” katanya.

Haminah berkata, pihak terbabit juga pernah berjanji untuk membina beranda di hadapan rumahnya, namun tidak dibina, malah beberapa keperluan lain tidak dapat disediakan dengan sempurna.

Sebagai contoh katanya, saluran air pada bumbung yang dibina tidak mencukupi menyebabkan air hujan melimpah dan bertakung di hadapan pintu rumah jika hujan lebat.

"Saya juga terpaksa berhabis antara RM50 hingga RM60 sehari bagi menyediakan keperluan makan dan minum pekerja warga asing yang menjalankan kerja menyiapkan rumah tersebut.

“Sub kontraktor berjanji jika saya menyediakan makanan, dia akan bina beranda hadapan, tetapi apa yang dijanjikannya itu bukan saja tidak ditepati, malah kerja yang dibuatnya tidak memuaskan hati kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, jurucakap sub kontraktor itu berkata, pihaknya terlebih dahulu akan mengenal pasti kerosakan tersebut dan menelitinya dengan  lebih mendalam supaya ia dapat diselesaikan segera.

“Sebenarnya kami baru saja mendapat maklumat berhubung perkara ini dan saya sendiri akan ke rumah itu esok (hari ini) atau lusa (Ahad) untuk melihat kerosakan seperti yang didakwa,” katanya.