Rumah dibaling 2 botol kaca
Keadaan botol yang telah pecah dipercayai telah dibaling oleh seorang lelaki.
Rumah dibaling 2 botol kaca
Leong Lai
Rumah dibaling 2 botol kaca
Kesan kebakaran yang berlaku di bahagian tempat letak kereta.
TAIPING – Seorang mekanik terkejut apabila rumahnya di Taman Tekkah Aulong, di sini, dibaling dengan dua botol kaca menyebabkan berlaku kebakaran.

Tan Leong Lai, 50, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam dan ketika itu dia tidak berada di rumah.

Menurutnya, dia keluar untuk membawa salah seorang anaknya dan hanya tinggal isteri dan anak perempuan sahaja di rumah.

“Namun kami sekeluarga bernasib baik kerana isteri saya menyedari kejadian itu dan terus bertindak memadamkan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Leong Lai berkata, ketika pulang ke rumah isterinya memaklumkan yang dia terdengar bunyi dua botol kaca pecah serta terlihat seorang lelaki memakai topi keledar beredar dari rumah mereka sekali dan cahaya api di bahagian hadapan rumah mereka.

“Isteri dan anak perempuan saya segera ambil air untuk memadamkan kebakaran yang berlaku di bahagian tempat letak kereta,” katanya.

Dalam pada itu Leong Lai memaklumkan bahawa dia mengesyaki kejadian tersebut dilakukan oleh Ah Long, namun selama ini dia tidak pernah berhutang dengan kumpulan itu.

“Kumpulan itu mungkin tersalah rumah dan sebenarnya mencari orang lain, namun kerana nasib tidak baik, saya yang kena.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Aulong berhubung kejadian itu agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya.