Rumah bekas ketua cawangan dikhianat
Kogilavani dan suami menunjukkan kenderaan yang terkena cat.
SKUDAI – Rumah bekas Ketua Cawangan DAP Taman Nesa, S Kogilavani menjadi mangsa khianat apabila disimbah cat dalam kejadian awal pagi semalam.

Dia bersama suaminya yang juga bekas Setiausaha Publisiti Kecil DAP Taman Nesa, A K Murugan menetap di Taman Skudai, di sini sejak 14 tahun dikejutkan dengan bunyi penggera kenderaan pada jam 1.50 pagi.

Kogilavani berkata, perbuatan khianat itu adalah pengalaman pertamanya dan mengesyaki dilakukan dua atau tiga individu yang disifatkan cubaan memberi amaran atau menakut-nakutkan dirinya.

“Saya sedang tidur dan terdengar bunyi penggera kereta. Saya lihat rumah dan kenderaan saya disimbah cat putih menerusi tingkap kerana khuatir untuk keluar.

“Selepas setengah jam, saya terdengar bunyi motor lalu tepi rumah yang berlegar-legar,” katanya yang ditemui di rumahnya.

Akibat kejadian itu, dia kerugian kira-kira RM3,000 untuk kos membaiki kenderaan.

“Selama tinggal di sini, saya tidak mempunyai musuh dan tidak pernah berhutang dengan sesiapa.

“Saya mahu perkara ini disiasat dan mereka yang mengugut ini dibawa ke pengadilan,” katanya.

Jelasnya, suspek melontarkan cat yang diisi dalam plastik lut sinar sebanyak tiga beg dan dilontar yang terkena rumah dan keretanya.

Susulan kejadian itu, Kogilavani dan suami membuat laporan polis.