Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Rakan ‘pacak’ pisau



Georgetown: Seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital dalam keadaan sebilah pisau yang matanya berbentuk gergaji masih terpacak di dadanya selepas ditikam dalam kejadian di Lorong Muda, Weld Quay, di sini, kelmarin.

Kejadian itu berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa dan seorang lelaki lain ketika mereka minum di sebuah kedai minuman keras, jam 7.30 malam.


Ketika kedua-dua lelaki asyik meneguk minuman memabukkan itu, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum mangsa, S Suresh, 35, ditikam dengan pisau berkenaan hingga terpacak di dadanya.

Dengan keadaan badannya yang masih berlumuran darah, mangsa menjerit meminta tolong dan dalam keadaan kelam-kabut itu, lelaki yang menyerangnya melarikan diri.


Menurut sumber, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), tetapi usaha mencabut pisau itu agak sukar kerana matanya berbentuk gergaji.


“Difahamkan, doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan pisau berkenaan dan mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, tetapi kehilangan banyak darah,” kata sumber itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek dan kemungkinan mereka sebelum itu bertengkar.


“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan setakat ini, polis sedang mengesan suspek.

“Polis sudah mengambil keterangan awal daripada mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment