Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Rahsia penjaga kuda terbongkar



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Wan Asrudi Wan Hasan
Ipoh: Seorang penjaga kuda tidak hanya menjalankan kegiatan mengedar dadah jenis heroin, malah turut menyimpan sepucuk pistol yang dijadikan ‘pendinding’ jika diganggu pesaing.

Suspek berusia 27 tahun itu dikesan menyembunyikan pistol model Beretta itu di atas bumbung garaj kenderaan di rumahnya di Kampung Cheh, Tanjung Rambutan, kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata, kegiatan suspek dibongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak melakukan serbuan ke rumahnya jam 11 malam.

“Suspek berasal dari Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. “Anggota polis yang melakukan pemeriksaan kemudian menemui 16 peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki jenis heroin seberat 42 gram dan semua dadah itu disembunyikan di dalam beg pinggang suspek,” katanya.


Beliau berkata, dadah bernilai lebih RM1,200 itu dipercayai mahu dijual suspek kepada penagih dadah, terutama sekitar Tanjung Rambutan.


“Anggota polis yang melakukan pemeriksaan di bahagian garaj kereta rumah suspek menemui sepucuk pistol Beretta Model 21A bersama satu kelopak peluru.

“Bagaimanapun tiada peluru hidup ditemui di dalam kelopak peluru berkenaan. Suspek juga didapati positif dadah syabu,” katanya.


Menurutnya, suspek pernah didakwa di mahkamah atas jenayah dadah pada tahun 2011 sebelum dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan.

“Bagaimanapun dia masih tidak serik dan tetap melakukan kegiatan pengedaran dadah selepas dibebaskan dari penjara pada Julai 2012 lalu.


“Suspek kini ditahan reman dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B , Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 33, Akta Senjata Api 1960,” katanya.


Beliau turut memuji kecekapan anggota JSJN dan sikap prihatin orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada polis.


“Maklumat orang ramai penting untuk memudahkan polis membanteras kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment