Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Polis tumpas sindiket dokumen palsu

Polis tumpas sindiket   dokumen palsu
Amiruddin melihat dokumen palsu pendatang asing selepas sidang akhbar di IPD Ampang Jaya. - Foto Surianie Mohd Hanif 62 individu ditahan termasuk CEO syarikat

Ampang: Polis menumpaskan satu sindiket mengeluarkan dokumen palsu dikenali 'Rekod Pengenalan Warga Asing' (RECOF) dengan tertangkapnya 62 individu termasuk 'ketua pegawai eksekutif' (CEO) syarikat yang mengendalikan kegiatan itu dalam dua serbuan dekat sini, Sabtu lalu dan kelmarin.
Serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah premis di Pandan Perdana, kira-kira jam 4.30 petang Sabtu lalu, manakala serbuan kedua di Jalan Gombak, Setapak, pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Sindiket mengeluarkan dokumen yang dikatakan memberi ‘kekebalan’ kepada warga asing untuk mengelak ditahan pihak berkuasa” Amiruddin Jamaluddin, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya

Seorang lelaki berjawatan ‘CEO’ berusia 46 tahun ditahan dalam serbuan pertama bersama 59 anggota sindiket serta pekerja asing yang sedang berurusan untuk mendapatkan dokumen itu.

Seramai 37 orang daripada tangkapan itu adalah warga Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Vietnam, Filipina, China, India, Myanmar dan Sri Lanka.

Dalam serbuan berikutnya, dua lagi lelaki warga tempatan ditahan. Semua tangkapan dalam kedua-dua serbuan itu berusia antara 20 hingga 46 tahun.

Dokumen beri ‘kekebalan’ 
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata sindiket terbabit mengeluarkan dokumen yang dikatakan memberi ‘kekebalan’ kepada warga asing untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Katanya, sindiket itu yang menubuhkan dua syarikat bagi mengeluarkan dokumen berkenaan, dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan mensasarkan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin yang mempunyai masalah berkaitan dokumen perjalanan.

“Sindiket itu akan mengeluarkan permit atau tanda pengenalan diri sebagai dokumen dengan harga RM1,500 hingga RM5,000, bergantung kepada kelas pekerjaan, yang didakwa boleh melindungi mereka daripada ditahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, semalam.

Polis rampas dokumen

Polis turut merampas pelbagai dokumen serta peralatan bagi memproses RECOF seperti komputer, pencetak, ipad, kamera dan mesin pengimbas cap jari dalam serbuan berkenaan.

Amiruddin berkata, kegiatan itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada enam majikan yang mendakwa kerugian lebih RM175,000 selepas membayar kepada sindiket terbabit untuk mendapatkan dokumen bagi pekerja mereka.

Bertindak atas laporan itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi membuat risikan dan siasatan.

Siasatan mendapati sindiket terbabit melantik ejen untuk membuat bancian terhadap pekerja atau majikan warga asing khususnya mereka yang mempunyai masalah dengan dokumen perjalanan.

No comments:

Post a Comment