Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Polis serbu premis judi



19 Mei 2013

Abdul Aziz (kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Temerloh, Deputi Superintendan Makhetar (kanan) menunjukkan sebahagian daripada komponen komputer dirampas polis.
TEMERLOH - Polis merampas sebanyak 72 komputer dan peralatan dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian serta tunai berjumlah RM535 dalam tiga serbuan berasingan, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam serbuan pertama jam 12.30 tengah malam, polis menyerbu dua premis di Taman Rimba seterusnya merampas sebanyak 32 komputer bersama pelbagai peralatan serta tunai RM350.

Menurutnya, dalam serbuan kedua jam 11 malam di sebuah premis di Taman Perindustrian Mentakab pula, polis merampas 40 komputer dan peralatannya serta tunai berjumlah RM185.

“Dalam kejadian terbaru, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bersama anggota dari cawangan D7, siasatan jenayah Temerloh dan Mentakab membuat tiga serbuan ke atas premis yang menjalankan kegiatan mesin judi haram.

“Tiga penjaga premis dan 13 pelanggan turut ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi  dirampas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mengikut Seksyen 4(1)(B) Enakmen Hiburan 1993, mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, polis akan sentiasa memantau kegiatan perniagaan di sekitar taman perumahan yang dipercayai dijalankan secara haram untuk memperoleh keuntungan cara mudah.

Menurutnya, pengusaha kegiatan perniagaan dinasihatkan mematuhi syarat pelesenan untuk menjalankan perniagaan supaya tidak dikenakan tindakan.

"Mengusahakan kegiatan perniagaan mesin judi haram memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara serta perkembangan masyarakat terutama golongan remaja," katanya.

No comments:

Post a Comment