Search This Blog

Sunday, May 5, 2013

Polis Johor tahan 9 lelaki berkaitan PRU-13



JOHOR BAHRU – Seramai sembilan lelaki berusia 30-an termasuk seorang warga asing ditahan di negeri ini atas pelbagai kesalahan pilihan raya sejak hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 20 April lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, daripada jumlah tersebut, tiga orang telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun sama kerana khianat.
Katanya, turut ditahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 32 tahun di Pontian pada Khamis lalu kerana turut berkempen dengan mengedar risalah berunsur hasutan.
Ujarnya, lelaki berkenaan yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial, ditahan reman sehingga 15 Mei ini untuk disiasat mengikut Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 4a (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Kami menerima 959 laporan polis dan telah menjalankan 264 siasatan. Daripada jumlah ini, sembilan orang telah ditahan dan tiga daripadanya sudah didakwa.
“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, keadaan masih terkawal dan rakyat di negeri ini saya lihat amat mengutamakan keselamatan dan kedamaian serta sikap bertolak ansur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Mokhtar berkata, menjelang hari pembuangan undi hari ini, pihaknya telah bersiap sedia bagi memastikan kelancaran proses tersebut dan menyeru agar orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai salah laku sepanjang proses pilihan raya boleh menghubungi pihak polis di talian 07-221 2999 atau layari laman web www.polisjohor.gov.my.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2SN2JQ3p2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment