SYDNEY - Seorang pekerja bertindak menyimbah air cili ke arah seorang lelaki selepas cuba merompak wang di dalam mesin juruwang di sebuah restoran di Fleet, Sydney, Australia.

Polis New South Wales, Ralp Deans berkata, sebelum kejadian itu, lelaki berkenaan telah membuat beberapa pesanan makanan dan minuman.

Menurutnya, selepas selesai menikmati hidangan, lelaki itu dipercayai bertengkar dengan seorang pelayan ketika ingin membuat pembayaran.

“Lelaki itu kemudiannya meluru ke arah ruang kaunter dan cuba untuk membuka mesin juruwang sambil berlaku aksi tolak menolak,” katanya dipetik dari laporan AFP.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan dihalang oleh seorang lagi pekerja di restoran hingga menyebabkan beliau bertindak menyimbah air cili ke muka lelaki berkenaan.