Search This Blog

Friday, May 24, 2013

Peraih ikan ditembak depan masjid


24 Mei 2013
KOTA BHARU - Seorang tauke peraih ikan Kuala Besut, Terengganu maut selepas terkena satu daripada lima das tembakan dilepaskan penjenayah dalam kejadian di Cherang Ruku, Pasir Puteh, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 9.25 malam di hadapan Masjid Nurul Anuar sejurus mangsa, Zahari A Razak, 57, selesai menunaikan solat Isyak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa dari Kampung Pachakan, Jalan Semerak, ditembak seorang lelaki bermotosikal yang menunggu di luar pagar.

“Mangsa ke masjid untuk solat Maghrib pada jam 7 petang sebelum keluar bersama tiga jemaah untuk minum di kedai berhampiran dan masuk semula bagi menunaikan  olat Isyak. Selesai solat Isyak, dia yang memandu kereta jenis BMW 525i berwarna kelabu miliknya untuk pulang ke rumah.

“Sejurus melepasi pintu gerbang, lima das tembakan dilepaskan menyebabkan kereta dinaikinya bergerak perlahan dan berhenti apabila tayar terbenam di kawasan rumput bersebelahan masjid. Suspek pula memecut motosikal ke simpang Pasir Puteh-Kuala Besut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati tiga kesan tembakan ditemui pada cermin serta masing-masing satu pada pintu dan bawah pintu penumpang hadapan.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat. Pemeriksaan forensik mendapati satu kesan tembakan kena pada belakang sebelah kiri tubuh mangsa.

"Suspek seorang lelaki bersenjata pistol belum dikenal pasti dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment