Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Peragut tersilap langkah kena cekup



16 Mei 2013
KUANTAN - Seorang peragut tumpas apabila berjaya dicekup orang awam yang  menyedari jeritan mangsa dalam satu kejadian di Jalan Pak Sako, Temerloh, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, suspek berusia 30 tahun dari Kuala Krau, Temerloh berjaya ditahan kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan), Superintendan Mohd Haris Daud berkata, gadis  berusia 19 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu sedang berjalan bersama seorang rakan.

Menurutnya, tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopi keledar dari arah belakang lalu meragut dompet mengandungi wang tunai RM120 yang berada di tangan kanan mangsa.

“Selepas mendapat habuannya, suspek terus melarikan diri bagaimana pun cubaan itu gagal apabila tiga lelaki yang terdengar jeritan mangsa bertindak mengejarnya.

“Suspek dikejar sejauh kira-kira 300 meter sebelum berjaya ditahan berhampiran sebuah tandas awam di situ,” katanya di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, susulan penahan suspek itu, mangsa berjaya mendapatkan kembali dompetnya.

“Suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya suspek tidak bersendirian menjalankan kegiatan itu kerana mungkin ada rakannya turun terlibat.

“Kita percaya mungkin salah seorang daripada mereka menunggu di atas motosikal di kawasan berdekatan dan mereka akan lari selepas meragut mangsa.

“Dalam kejadian ini, suspek tersilap langkah apabila terjerat di tangan orang awam dan rakannya mungkin melarikan diri,” katanya.

Mohd Haris berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengesan suspek lain jika ada.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment