Search This Blog

Thursday, May 30, 2013

Penyokong panik

Foto Menarik
PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis bekerja keras menghalang penyokong yang menyerbu masuk ke padang sejurus perlawanan separuh akhir antara Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan dengan tarikh baru akan diumumkan kemudian. FOTO Luqman Hakim Zubir

Johor Bahru: “Keadaan di dalam stadium umpama medan perang apabila botol air, kayu, malah batu-bata berterbangan ke arah penonton.

“Saya bersama ahli keluarga panik, kami berlari ke arah tempat duduk penyokong sejurus diarah anggota keselamatan,” kata penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Ismail A Majid, 46, menceritakan detik cemas yang berlaku di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang malam kelmarin.


Ismail bersama isteri serta tiga anak mereka hadir untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara JDT bertemu Pahang dengan menaiki bas diuruskan Kelab Penyokong Johor (JFC).

Menurut Ismail, rombongan dari Johor tiba di stadium berkenaan pada jam 4 petang selepas berlepas dari Larkin kira-kira jam 10.30 pagi.


Katanya, pada mulanya keadaan dalam stadium hanya bising dengan sorakan penyokong dan mereka kemudian diarah turun ke trek balapan padang berikutan tempat duduk penyokong sudah penuh.


“Bagaimanapun, selepas anggota keselamatan mengarahkan kedua-dua penyokong yang berada di balapan berpindah ke tempat lain, keadaan menjadi kecoh dan kami mula dibaling dengan pelbagai objek.

“Keadaan itu menyebabkan saya panik kerana tidak menyangka perkara ini akan berlaku, pada masa sama, saya dibaling dengan objek keras pada pinggang.


“Saya juga dapati ramai rakan menjadi sasaran balingan pelbagai objek, malah saya menyaksikan kepala seorang wanita berdarah akibat terkena balingan, kanak-kanak turut terkena balingan botol,” katanya yang ditemui di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pagi semalam.

Rombongan kira-kira 4,000 penyokong pasukan JDT yang menaiki bas serta kenderaan persendirian tiba di Johor pada jam 7.45 pagi.


Sementara itu, seorang kakitangan awam yang hanya mahu dikenali sebagai Papa, 35, dari Taman Cempaka berkata, dia turut cedera dalam insiden terbabit.


“Kami dihujani pelbagai objek seperti batu. Saya cuba mengelak namun turut terkena batu bata pada bahu menyebabkan kulit bahagian itu koyak serta berdarah.


“Perlawanan ini sepatutnya berlangsung dengan meriah, bagaimanapun ia bertukar kepada kenangan pahit,” katanya yang turut cedera ringan di kaki.

No comments:

Post a Comment