Penyelia gudang curi 39 bundel gula
Tertuduh (kiri) diiringi polis keluar dari mahkamah selepas dikenakan denda, semalam.
KOTA BHARU - Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi. Itu situasi yang berlaku apabila seorang penyelia mencuri barangan milik syarikatnya sendiri.

Tindakan itu bagaimanapun memakan diri apabila dia ditahan dan didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Huszarni Hussin, 30, dari Jalan Bayam di sini, mengaku pada tuduhan pilihan mencuri 39 bundel gula pasir CSR bernilai RM1,076.40 yang berada dalam bilik majikannya di gudang sebuah pasar raya di Pengkalan Chepa, 29 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, seorang pelanggan membuat bayaran ke atas air minuman di pasar raya itu di Kubang Kerian terhadap barang yang diambil di gudang di Pengkalan Chepa.

Pelanggan tersebut bagaimanapun tidak membuat bayaran ke atas gula yang diambil dan siasatan mendapati pelanggan itu berpakat dengan tertuduh untuk melakukan jenayah itu kerana tertuduh sendiri dilihat menguruskan pengeluaran gula tersebut ke atas lori.

Majistret Nik Habri Muhamad kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal jelas denda.