Pengusaha kedai nyaris maut
Ketika kejadian, mangsa sedang duduk berehat di kerusi dekat luar kedai bersama isterinya kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
Pengusaha kedai nyaris maut
Zakaria menunjukkan bahagian tangan yang ditembak suspek ke arah mangsa ketika cuba merompak di kedai makan milik mangsa.
JERANTUT - Polis giat mencari seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu kes rompakan bersenjata api di sebuah kedai makan di Batu 1 Jalan Jerantut-Benta, di sini, malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, seorang pemilik kedai ditembak di bahagian lengan kirinya oleh suspek dipercayai lelaki Melayu.

Menurutnya, mangsa, 50-an, bersama isterinya sedang berkemas untuk menutup kedai mereka setelah siap urus niaga sementara seorang pembantu mereka berada di bahagian belakang kedai.

“Ketika mangsa duduk di kerusi di bahagian luar kedai bersama isterinya, seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha Nouvo dan memakai topi keledar mendekatinya dan meminta wang.

“Bagaimanapun mangsa enggan memberikan wang menyebabkan suspek bertindak menyelak tudung yang dipakai isteri mangsa untuk meragut barang kemas namun wanita itu tidak memakai rantai leher,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat sini.

Akibat berang dengan pasangan suami isteri itu katanya, suspek bertindak melepaskan satu das tembakan dan terkena lengan kiri mangsa hingga menembusi bahagian rusuk kirinya.

Menurutnya, suspek kemudiannya melarikan diri ke arah bandar dan orang awam di kawasan berhampiran tempat kejadian segera menghubungi polis.

“Kita percaya kejadian ini bermotifkan rompakan dan dipercayai dilakukan orang tempatan.

“Suspek bagaimanapun menyamar warga Indonesia melalui loghat percakapan ketika meminta wang namun bertukar kepada loghat tempatan apabila gagal mendapatkan wang tersebut,” katanya.

Zakaria berkata, polis segera membuat sekatan jalan raya dan menggeledah beberapa kawasan sekitar bandar ini untuk menjejaki suspek namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

“Ini kejadian pertama rompakan bersenjata di Jerantut dan kita belum dapat kenal pasti jenis pistol dan peluru yang digunakan suspek,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi IPD Jerantut, 09-2662222 untuk membantu siasatan.

Zakaria menyarankan pengusaha restoran, kedai makan serta premis perniagaan yang menjalankan urus niaga hingga lewat malam agar berhati-hati dan segera menghubungi polis sekiranya terdapat perkara mencurigakan.

Mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.