Penduduk hilang meter air
Suk Lin (dua, kiri) bersama jirannya menunjukkan kepada Thye Yih meter air miliknya yang telah dicuri.
TAIPING – Seorang suri rumah, Yu Suk Lin, 30-an meluahkan rasa bimbang apabila meter air miliknya bersama dua lagi jirannya hilang dalam satu kejadian di sini.

Beliau yang tinggal di Aulong Tekkah Jaya 3, berkata, pada semalam ketika keluar rumah untuk ke pasar kira-kira jam 7 pagi, meter berkenaan masih ada.

Menurutnya, kejadian itu dalam sekelip mata perkara dan dia mendapati kehilangan meter itu setelah pulang dari pasar pada jam 8.30 pagi.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana perkara itu boleh berlaku dan nasib yang sama turut berlaku pada dua lagi jiran,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Suk Lin berkata, jika keadaan seumpama ini berterusan ia mungkin boleh menyebabkan kesusahan kepada orang lain.

“Saya sendiri tidak dapat mengenal pasti mereka yang melakukan perkara seumpama ini kerana masa tidak sampai dua jam meter air itu boleh dicuri,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini perbuatan seumpama ini tidak pernah berlaku di situ, namun selepas apa yang berlaku dia mula berhati-hati.

“Saya berpesan kepada jiran-jiran supaya perlu berhati-hati dan kita bimbang mereka yang terlibat boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, pemantauan dan tindakan lanjut perlu diambil untuk mengatasi masalah ini daripada terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, Adun Aulong, Leow Thye Yih berkata, penduduk yang kehilangan meter air perlu membuat laporan polis.

“Apabila pihak polis telah mendapat laporan, kita amat berharap mereka dapat menjalankan rondaan di kawasan ini agar kejadian sama tidak berulang.

“Selain itu, bagi penduduk yang mengalami masalah kehilangan meter air, mereka juga perlu untuk memohon pemasangan meter baru,” katanya.