Pencuri tak sempat nikmati hasil habuan
ZAMRI
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tidak sempat menikmati hasil curinya selepas dibelasah orang awam yang menyedari perbuatannya dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Wakaf Mempelam, di sini, petang kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek berusia 20-an cuba melarikan wang milik seorang pekerja di stesen minyak berkenaan yang sedang menunaikan solat di bilik rehat disediakan di situ.

“Suspek datang bersendirian dengan hanya berjalan kaki telah masuk ke bilik rehat di stesen minyak berkenaan dan berpura-pura mahu menunaikan solat.

“Selepas yakin tiada yang memerhatikannya, dia mengambil wang mangsa di dalam dompet kira-kira RM100 ketika mangsa sedang bersolat," katanya, semalam.

Sumber berkata, perbuatan suspek disedari rakan mangsa yang kebetulan masuk ke dalam bilik rehat berkenaan.

“Rakan mangsa menjerit meminta bantuan rakan setugas lain dan orang awam yang berada di lokasi kejadian untuk menangkap suspek.

"Suspek berjaya ditahan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sebelum dibelasah," katanya.

Berikutan kejadian itu, suspek mengalami kecederaan ringan di tangan dan badan.

"Hasil pemeriksaan di dalam beg sandang suspek menjumpai beberapa wang kertas RM50 dipercayai wang palsu dan suspek mendakwa wang itu dijumpai di tempat pembuangan sampah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek direman untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana men-curi dalam bangunan.