Pemuda ditahan ketika sedang curi pisang
Pisau pemotong sayur yang digunakan suspek untuk pisang tanduk dalam sebuah kebun di Parit Bunga, Jumaat lalu.
LEDANG - Gara-gara terdesak mahu mendapatkan wang, seorang pemuda mencuri pisang tanduk di sebuah kebun di Parit Bunga, Sungai Mati dekat sini, Jumaat lalu.

Malangnya tindakan lelaki itu disedari pemilik kebun berkenaan selepas mendapati pisang di beberapa pokok hilang.

Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris berkata, pengadu menghubungi polis yang kemudiannya memberkas suspek yang sedang leka mencuri buah berkenaan.

“Suspek berusia 27 tahun itu berasal dari Serom 3, Sungai Mati, dan tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan jam 11.50 pagi.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran lapan inci yang digunakan suspek untuk memetik pisang tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, kelmarin.

Menurutnya, hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine tetapi tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379/511  kanun keseksaan.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menahan suspek dipercayai terbabit kes pecah rumah di Taman Tangkak Jaya di sini, dalam tempoh kurang 12 jam di Bukit Baru, Melaka, 25 Mei lalu.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Tangkak itu, ditahan di Bukit Baru, semasa menaiki kereta kira-kira jam  1 pagi selepas mangsa, wanita yang juga warga emas berusia 66 tahun membuat laporan polis pukul 1.35 petang 24 Mei lalu.

“Penahanan suspek berusia 27 tahun ini hasil intipan polis dan mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang dari Johor Bahru pada 24 Mei lalu,” katanya.

Harun berkata, mangsa sebelum ini meninggalkan kediamannya dari 5 hingga 24 Mei lalu, dan berada di rumah saudaranya di Johor Bahru.

Jelasnya, apabila pulang, dia mendapati rumahnya dipecah masuk sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

“Warga emas itu kehilangan antaranya rantai leher emas dan beberapa mata wang asing. Kerugian dianggarkan kira-kira RM4,500,” katanya.