Search This Blog

Monday, May 6, 2013

Pemilik kilang ditahan dera pekerja



Polis Indonesia memeriksa sebuah kilang, lokasi pekerja-pekerja Indonesia dipercayai didera majikan mereka di Tangerang, Indonesia, semalam. - AFP
JAKARTA 5 Mei - Polis Indonesia menahan seorang pemilik kilang dan empat mandur kerana didakwa mendera dan mengurung pekerja-pekerja mereka.
Ketua Detektif Jakarta, Shinto Silitonga berkata, pemilik kilang, Yuki Irawan dan empat mandur itu dituduh 'mendera dan menyekat kebebasan' 34 orang pekerja di kilang periuk aluminium haram di bandar Tangerang.
Polis yang mendapat maklumat bertindak menyerbu syarikat itu yang terletak di luar Jakarta pada Jumaat lalu.
Menurut Shinto, kesemua pekerja terdiri daripada lelaki, termasuk empat berumur 17 tahun, dipaksa bekerja sekurang-kurangnya 16 jam sehari dengan hanya diberi makan dua kali sehari dan tidak dibayar selama antara dua bulan dan setahun setengah.
"Mereka memberitahu kami mereka telah ditampar, disepak, ditolak, dibakar dengan puntung rokok dan dipaksa tidur di atas lantai konkrit serta tikar nipis.
"Mereka juga dikawal ketat supaya tidak melarikan diri," katanya.
Shinto berkata, kumpulan pekerja itu kini telah kembali ke kampung masing-masing.
"Keadaan mereka juga tidak terurus dengan pakaian koyak-rabak, badan dipenuhi kesan gigitan serangan dan ruam dan sesetengahnya sangat kurus, selain takut dengan orang," ujar Shinto.
Meskipun kebimbangan peningkatan kadar upah akan menyebabkan ahli perniagaan di negara ini berpindah ke negara jiran seperti Vietnam, pekerja kilang Indonesia masih menjadi antara pekerja yang menerima bayaran terendah di Asia, berbanding pekerja dari China dan India. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130506/lu_02/Pemilik-kilang-ditahan-dera-pekerja#ixzz2SW2x8CaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment