Search This Blog

Friday, May 24, 2013

Pemburu Mafia diancam surat ugutan bunuh



24 Mei 2013
ROM - Pendakwaraya yang juga pemburu Mafia, Ilda Boccassini menerima ancaman bunuh menerusi kiriman surat berisi dua butir peluru.

Boccassini juga yang menuntut agar hukuman penjara enam tahun dikenakan kepada bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

"Pada akhir-akhir ini, Boccassini sering mendapat pelbagai bentuk ancaman berupa kiriman surat dan kelmarin adalah salah satu yang paling serius," kata pendakwaraya Milan, Edmondo Bruti Liberati dalam satu kenyataan, semalam.

Namun beliau menegaskan pejabat pendakwaraya akan tetap meneruskan  tugasnya tanpa perubahan.

Skandal penari

Selain menuntut hukuman enam tahun penjara, Boccassini juga meminta agar Berlusconi dilarang untuk meneruskan karier politiknya.

Pada Februari 2011, Berlusconi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur dan menyalahgunakan kuasa untuk membantu gadis itu.

Ketua pendakwa raya, Edmondo Bruti Liberati dan beberapa hakim di Milan telah menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan Berlusconi membayar sejumlah wang untuk mengadakan hubungan seks dengan penari kelab malam, Ruby dan kemudian diketahui bernama Karima El Mahroug, yang ketika itu masih di bawah umur.

Pertuduhan itu termasuklah penyalahgunaan kuasa sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk meminta polis Milan membebaskan penari rakyat Magribi itu selepas dia ditahan kerana mencuri pada Mei 2010.

Berlusconi mengakui membuat panggilan telefon tersebut tetapi mengatakan panggilan itu dibuat sebagai bantuan untuk bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Berlusconi percaya Mahroug merupakan cucu bekas Presiden Mesir tersebut.

Baik Mahroug dan Berlusconi telah membantah tuduhan tersebut.

Keputusan penghakiman kedua-duanya dijangkakan akan diumumkan pada 24 Jun datang.

No comments:

Post a Comment