Search This Blog

Friday, May 24, 2013

Pelajar 15 tahun maut terjun bangunan sekolah


KUANTAN 23 Mei - Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan maut selepas bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira di sini hari.
Mangsa, Syamil Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 11.50 pagi kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal dengan pihak sekolah mendapati pelajar berkenaan dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.
"Sebelum kejadian, kira-kira pukul 11.30 pagi, pelajar berkenaan berjalan bersama rakan sekelasnya untuk menuju dewan sekolah. Dia bagaimanapun tiba-tiba berlari lalu terjun dari bangunan itu walaupun cuba dihalang beberapa rakannya," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Jasmani, mangsa ditemui terjatuh dalam keadaan tertiarap di atas rumput di hadapan tandas perempuan di Blok A sekolah tersebut.
Tambah beliau, bedah siasat HTAA mendapati pelajar tersebut mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan.
Dalam pada itu, keluarga remaja berkenaan serta pihak sekolah semasa ditemui di HTAA enggan bertemu pemberita kerana masih terkejut dan sedih.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130524/je_04/Pelajar-15-tahun-maut-terjun-bangunan-sekolah#ixzz2UAJ0CtCy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment