Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Pekerja hotel maut kereta dirempuh treler


Keadaan kereta Perodua Viva milik Shazwani Shafiee (gambar kecil) selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 48, Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Bedong, Sungai Petani, Kedah, semalam.
SUNGAI PETANI 22 Mei - Seorang kakitangan sebuah hotel di sini maut dalam keadaan mengerikan selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah treler di Kilometer 48, Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Bedong di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Shazwani Shafiee, 28, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ibu mangsa, Raziah Abd. Jabar, 63, berkata, kejadian itu berlaku ketika anak keempat daripada lima beradik tersebut dalam perjalanan ke tempat kerjanya di pusat bandar Sungai Petani.
"Dia keluar dari rumah di Taman Rasa Sayang, Bedong seorang diri. Polis maklumkan apabila sampai di tempat kejadian, sebuah treler yang datang dari arah bertentangan bertembung dengan kereta anak saya.
"Treler itu rempuh bahagian pemandu dan menyebabkan anak saya tersepit. Dia kemudian dikeluarkan oleh bomba sebelum dihantar ke HSAH," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Raziah memberitahu, anaknya yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta pendarahan teruk disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di HSAH.
Katanya, sebelum kejadian, anaknya tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh kecuali menutup pintu pagar rumah sebelum keluar.
"Selalunya Shazwani pergi kerja tak tutup pagar rumah tetapi hari ini dia tutup. Dia juga tak pandang muka saya dan bapanya, Shafiee Said, 70, semasa bersalaman sebelum keluar pagi ini," katanya sebak.
Raziah berkata, jenazah anaknya telah dituntut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedong, dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130523/je_03/Pekerja-hotel-maut-kereta-dirempuh-treler#ixzz2U4FyuLSH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment