Search This Blog

Sunday, May 5, 2013

Peguam suami Rita Rudaini maut kemalangan motosikal



ORANG ramai membantu anggota polis mengangkat mayat Noor Ariff Delia Ramli yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori tangki di Jalan Persiaran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.
RASAH 4 Mei - Seorang peguam maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh sebuah lori tangki di Jalan Persiaran Senawang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa, Noor Ariff Delia Ramli, 36, maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.
Jurucakap polis memberitahu, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Versys 650 dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Senawang menuju ke Plaza Tol Senawang untuk ke Seremban 2.
Namun katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak kelapa sawit dari arah bertentangan tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke satu kawasan kilang.
"Mangsa yang tidak sempat membrek kemudiannya melanggar sisi kiri kenderaan berat tersebut sebelum tercampak sejauh beberapa meter.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, sementara pemandu lori tangki berusia 30 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superitendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar dekat sini untuk dibedah siasat.
Noor Ariff merupakan peguam yang mewakili pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak dalam kes permohonan cerai dengan isterinya, Rita Rudaini Mokhtar.
Sehingga kini kes berkenaan yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban masih berjalan.
Sementara itu, Aidil Zafuan yang ditemui di bilik mayat hospital berkenaan melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa Noor Ariff.
Katanya, dia menerima berita berhubung kejadian itu selepas dihubungi abangnya ketika dalam perjalanan pulang ke Seremban untuk mengundi.
"Bagi saya Noor Ariff adalah seorang peguam yang baik dan sangat berdedikasi dan saya sangat sedih kerana kehilangan seorang rakan yang telah lama saya kenal.
"Buat masa ini saya belum memikirkan sama ada untuk mencari peguam yang baru bagi mewakili kes perceraian saya dengan Rita nanti," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130505/je_03/Peguam-suami-Rita-Rudaini-maut-kemalangan-motosikal#ixzz2SN5KHQQr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment