Search This Blog

Saturday, May 18, 2013

Pasukan khas jejak pekerja warga Indonesia



Miri: Polis Miri menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki sekumpulan pekerja warga Indonesia yang disyaki ada kaitan dengan kes pembunuhan dua lelaki yang mayat mereka ditemui ditanam di tapak pembinaan di Permyjaya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, pasukan khas terbabit diketuai Asisten Superintendan Soliment Nyien yang akan menggiatkan usaha memburu suspek.


Katanya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan kumpulan pekerja Indonesia terbabit yang menghilangkan diri beberapa hari lalu untuk membantu siasatan.

“Kami juga sudah membuat pemeriksaan di sebuah rumah pekerja di tapak binaan berkenaan, namun tidak menemui sebarang bukti termasuk senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan,” katanya di sini, semalam.


Pemeriksaan awal katanya, mendapati terdapat kesan kecederaan pada kedua-dua badan mangsa yang dipercayai diserang menggunakan senjata tajam sebelum dimasukkan ke dalam guni dan ditanam di tapak pembinaan berkenaan.


Mun berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti kedua-dua mangsa terbabit, namun berdasarkan siasatan awal pihak polis kedua-dua mayat dipercayai warga Indonesia.

“Semuanya masih dalam siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak kontraktor tapak projek berkenaan selain perlu menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat,” katanya.


Semalam, Harian Metro melaporkan tanda tanya mengenai kegagalan dua pekerja binaan warga Indonesia hadir bekerja sejak enam hari lalu, terjawab apabila mayat mereka ditemui ditanam sedalam 1.5 meter di tapak pembinaan di Permyjaya.

Mayat reput kedua-dua lelaki dipercayai bersaudara itu ditemui selepas sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dibuat seorang penyelia di tapak projek itu kira-kira jam 8.30 pagi.


Dengan bantuan anjing pengesan dan jengkaut, polis berjaya mengeluarkan mayat kedua-dua lelaki terbabit yang ditanam berhampiran longkang yang sedang dalam pembinaan di tapak projek berkenaan.

No comments:

Post a Comment