Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Padah mulut celupar



Jitra: Tindakan seorang lelaki warga tempatan mengeluarkan kata kesat terhadap anggota Jabatan Imigresen yang membuat serbuan di rumahnya membawa padah apabila dia ditahan dalam Ops 6P di Taman Tunku Maheran, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi, lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai cuba menghalang anggota imigresen menjalankan tugas apabila mendapati lima pendatang asing tanpa izin lelaki warga Sri Lanka dan seorang lelaki warga India menyewa di rumah terbabit.


Berikutan itu, lelaki tempatan terbabit ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d), Akta Imigresen 1959/63 kerana memberi perlindungan kepada warga asing walaupun lelaki itu berpura-pura pengsan dan merayu dilepaskan kononnya mabuk ketika pemeriksaan dijalankan di rumahnya itu.

Manakala, enam warga asing itu didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), akta sama kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan Seksyen 15(1)(c), akta sama kerana menetap lebih masa dalam negara.


Operasi enam jam bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 6 pagi itu disertai 21 anggota mengadakan pemeriksaan ke atas 108 warga asing di lima premis berlainan sekitar Jitra.


Ketua Bahagian Penguat Kuasa Nar Azaman Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua warga asing itu, 35 daripadanya dipercayai melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Menurutnya, warga asing yang ditahan itu membabitkan 24 lelaki warga Sri Lanka, tujuh lelaki Myanmar, dua lelaki India, seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.


Katanya, semua tahanan berusia antara 12 dan 54 tahun dan dipercayai bekerja sebagai buruh dan pekerja am dan mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Langkap, Perak untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment