Search This Blog

Thursday, May 16, 2013

Nyaris maut pada hari jadi



Rembau: Gara-gara cuba mengelak seekor kerbau, seorang jurutera bunyi di Hard Rock Cafe, Melaka nyaris maut apabila kereta Proton Saga FL yang dipandunya terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam semak lalu terbalik di Kilometer 31 Jalan Seremban-Tampin di Kampung Bongek, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Nur Faez Zainal, 29, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Melaka menuju ke rumahnya di Ampangan, Seremban.


Muhammad Nur Faez yang ditemui berkata, dia selesai kerja kira-kira jam 12.45 pagi dan sememangnya tidak sabar untuk pulang ke rumah bagi meraikan hari lahirnya bersama isteri dan anak.

“Isteri saya, Tengku Mariam Marissa Tengku Salehudin, 28, sebelum itu ada menghubungi dan memaklumkan mereka anak beranak membuat sambutan hari lahir saya yang jatuh hari ini (semalam).


“Saya amat teruja untuk menyambut bersama keluarga tersayang dan sepanjang berada di tempat kerja asyik memikirkan mengenai mereka. Hati begitu gembira dan tidak sabar menunggu habis waktu bekerja,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pagi semalam.


Muhammad Faez berkata, sepanjang perjalanan dia sudah membayangkan senyuman dan keriangan pada wajah anak isteri yang menanti kepulangannya.

“Namun siapa sangka belum sempat sampai ke rumah saya terbabit kemalangan. Ketika melalui lokasi kejadian saya cuba mengelak sekumpulan kerbau yang melintas jalan tiba-tiba muncul lagi seekor kerbau.


“Dalam keadaan panik, saya cuba mengelak dari melanggar kerbau tapi nasib tak menyebelahi apabila kereta saya terbabas dan masuk ke dalam semak sejauh 30 meter dari jalan besar,” katanya.

Katanya, dia tidak dapat membayangkan situasi yang menimpa dirinya apabila kereta berpusing sebanyak dua kali lalu terbalik.


“Ketika kereta berpusing saya sempat melaung Allahuakbar. Keadaan ketika itu amat mencemaskan. Saya hanya teringat Allah dan anak isteri di rumah,” katanya Menurutnya, sebaik keadaan reda, dia cuba keluar sendiri melalui tingkap pemandu dan beberapa minit selepas itu penduduk kampung yang terdengar bunyi bising datang membantu.


“Alhamdulillah syukur. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan mampu pulang meraikan hari lahir bersama keluarga tercinta. Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku tetapi selepas ini saya akan lebih berhati-hati apabila melalui kawasan ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

No comments:

Post a Comment