Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Melambung kaki terlipat



Kota Kinabalu: “Saya menyangkakan dia sudah mati apabila melihat tubuhnya melambung sebelum tercampak kira-kira tiga meter selepas dirempuh pikap ketika cuba menyeberangi jalan.

“Namun sebaik menghampirinya, mangsa membuka mata dan merintih kesakitan sebelum orang ramai menghubungi ambulans,” kata Rahman Saman, 34, saksi nahas jalan raya di Jalan Pantai, di sini, kelmarin.


Kejadian jam 7.30 malam berhampiran KK Times Square menyebabkan mangsa Noraisa Kahar, 32, parah termasuk patah kaki dan tangan kiri.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh di kawasan pembinaan berhampiran KK Times Square dikatakan mahu pulang ke rumahnya di Kampung Sembulan Lama, 500 meter dari tempat kejadian.


Rahman yang juga rakan sekerja mangsa berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan lain dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing.


“Saya mengenali mangsa dan melihatnya berlari untuk menyeberangi laluan tiga lorong. Tiba-tiba sebuah pikap Chevrolet Colorado gagal mengelak lalu merempuh mangsa sebelum tercampak di atas jalan raya,” katanya.

Katanya, pemandu pikap kemudian memberhentikan kenderaannya lalu bergegas mendapatkan mangsa untuk meninjau keadaannya.


“Pada masa sama, saya turut meluru ke tempat kejadian dan lihat mangsa dalam keadaan kaki terlipat dipercayai patah selain tidak bergerak lagi.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian menyangka mangsa sudah meninggal dunia tetapi sebaik saya menghampirinya, dia tiba-tiba membuka mata lalu mengerang kesakitan,” katanya.


Mangsa dihantar ke hospital Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dilakukan.


“Mangsa kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan keadaannya dilaporkan stabil.


“Pemandu kenderaan berusia 30-an sudah membuat laporan mengenai kejadian ini,” katanya.


Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment