Mayat nenek berlumuran darah di lantai
Sampuranam
IPOH – Seorang cucu yang baru pulang bercuti terkejut apabila nenek kesayangannya ditemui terbaring berlumuran darah di bahagian dapur rumahnya, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

M Darshini, 21, yang panik melihat mayat A Sampuranam, 75, bertindak menghubungi polis sebelum memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga lain.

Menantu mangsa, R Raman, 51, yang tinggal di Taiping bergegas ke rumah keluarga itu selepas dimaklumkan dengan kejadian tersebut.

“Kali terakhir saya bertemu mangsa sebulan yang lalu dan difahamkan ketika kejadian mangsa tinggal seorang diri selepas anak dan cucunya keluar bekerja.

“Saya terkejut apabila diberitahu kejadian yang menimpa mangsa kerana dia memang tidak banyak cakap tetapi rajin bekerja,” katanya yang turut memberitahu mangsa mengalami masalah kesihatan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa ditemui terbaring di lantai dapur kediamnnya dengan kesan cedera di kepala dan leher.

Menurutnya, pihaknya tidak menemui sebarang kerosakan atau punca pintu rumah mangsa dipecah masuk.

“Ketika kejadian mangsa seorang diri dirumah dan dipercayai disamun sebelum dibunuh oleh suspek. Dua pembesar suara dipercayai hilang dalam kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan laporan bedah siasat forensik mendapati mangsa cedera akibat terkena hentakan objek keras,” katanya yang masih tidak mempunyai anggaran sebenar kerugian dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.