Search This Blog

Tuesday, May 7, 2013

Mayat lelaki terikat dijumpai terapung



IPOH 6 Mei - Seorang lelaki warga emas terkejut apabila menemukan mayat lelaki dalam keadaan terapung di sebuah lombong terbiar di kawasan perindustrian Bemban, Batu Gajah dekat sini semalam.
Mayat K. Murugan, 37, ditemui pada pukul 5 petang oleh warga emas tersebut ketika sedang menghalau lembu ternakannya balik ke kandang, tidak jauh dari lombong berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketika ditemui, mayat lelaki berkenaan timbul di permukaan air dengan kaki dan tangan terikat manakala sebahagian badan masih tenggelam.
Katanya, mangsa yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju diikat menggunakan dawai dan mempunyai tatu di beberapa anggota badan.
"Setelah mayat diangkat ke atas tebing, kita dapati badan mayat itu telah diikat dengan bongkah besi yang dijadikan sebagai pemberat untuk menenggelamkan mayat.
"Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati terdapat beberapa kesan pukulan di kepala dan mangsa telah mati kira-kira lima hari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan di tempat kejadian juga menemukan beberapa ikatan dawai berukuran 50 meter dan satu pelekat hitam dipercayai lebihan dawai untuk mengikat mayat mangsa.
"Penemuan mayat ini menjawab persoalan mengenai kehilangan seorang lelaki dari Bidor yang dilaporkan keluar dari rumah kira-kira pukul 11.30 malam, 1 Mei lalu.
"Melalui pengecaman oleh ahli keluarga pengadu, didapati mayat tersebut adalah Murugan berdasarkan tanda tatu pada badannya," ujarnya.
Shaharon Anuar berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
"Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pukulan objek tajam ekoran penemuan tiga kesan di belakang kepala dan dahi.
"Sesiapa yang mengenali si mati atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Supritendan Ajit Singh di talian 05-3629222," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130507/je_02/Mayat-lelaki-terikat-dijumpai-terapung#ixzz2ScDeaIez
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment