Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Mati dibelasah suami



KUALA LUMPUR 18 Mei - Seorang kerani perakaunan yang dalam proses perceraian maut dipercayai akibat dibelasah suami sendiri selepas bertengkar di rumahnya di Kampung Petaling Bahagia di Jalan Puchong dekat sini, hari ini.
Mangsa, Nurhidayah A. Ghani, 28, dikatakan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah dihantar sendiri oleh suami serta saudaranya untuk menerima rawatan kira-kira pukul 8 pagi ini.
Difahamkan, mangsa sebelum itu telah bergaduh dengan suaminya yang berusia 39 tahun dan punca pertengkaran disebabkan suspek mahu kembali semula ke pangkuan isterinya. Salah seorang daripada mereka memfailkan proses penceraian di mahkamah syariah sejak Februari lalu.
Namun dipercayai mangsa enggan berbaik semula dengan suspek dan tindakannya itu menyebabkan dia dipukul sehingga tidak sedarkan diri. Suspek yang terkejut dengan kejadian itu dikatakan meminta bantuan saudaranya untuk menghantar isterinya ke PPUM.
Selepas menghantar mangsa, suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dikatakan segera melarikan diri kerana bimbang ditangkap polis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian tersebut dan berkata kes ini dilaporkan sendiri oleh kakak mangsa yang bergegas ke PPUM sejurus dimaklumkan oleh adik suspek.
"Pengadu yang berusia 37 tahun pergi ke PPUM untuk melawat mangsa namun sejurus tiba di wad kecemasan, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa adiknya itu sudah meninggal dunia.
"Siasatan awal mendapati terdapat banyak kesan lebam baru dan lama pada badan mangsa, dipercayai akibat dipukul," katanya.
Mengulas lanjut, Khairi memberitahu, pasangan itu yang sudah berumahtangga sejak 11 tahun dan dikurniakan empat orang anak itu dipercayai bergaduh kerana suspek enggan menceraikan isterinya.
"Dalam proses penceraian itu pasangan itu tidak lagi tinggal bersama dan mangsa dikatakan tinggal di rumah ibunya di PPP (Projek Perumahan Rakyat) Muhibbah di Jalan Klang Lama," katanya.
Menurut beliau, polis sedang memburu suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, kakak mangsa, Umi Kalsom A. Ghani, 37, mendakwa, adik kelima dari enam beradik itu diugut oleh suspek beberapa kali sebelum ini termasuk ugutan bunuh setiap kali mangsa melarikan diri apabila berlaku pertengkaran.
Dakwanya lagi, suami adiknya itu seorang yang panas baran dan adiknya sering dipukul sepanjang 11 tahun berkahwin.
"Mangsa sebelum ini melarikan diri ke rumah ibu kami kerana tidak tahan dipukul malah beberapa hari sebelum kejadian, dia tinggal di sebuah hotel kerana sering diekori oleh suspek.
"Saya sendiri tidak dapat menghubunginya selepas dia keluar dengan adik suspek tiga hari lepas. Menurut kawannya, adik diculik suspek pada malam tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130519/je_02/Mati-dibelasah-suami#ixzz2ThTq2NS1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment