Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Mangsa terakhir lombong runtuh ditemui


 
Timika: Penyelamat semalam menemui mangsa terakhir daripada 28 pelombong yang terbunuh minggu lalu apabila bilik bawah tanah di sebuah lombong emas dan tembaga gergasi di Indonesia runtuh, kata pengendali kemudahan Amerika Syarikat itu.

Tiga puluh lapan pekerja sedang menjalani latihan keselamatan di dalam kemudahan Big Gossan di wilayah Papua apabila bumbung runtuh 14 Mei lalu. Sepuluh pelombong yang cedera berjaya diselamatkan.
Satu kenyataan daripada PT Freeport Indonesia berkata Pasukan Maklum Balas Kecemasan seramai 200 anggota bekerja tanpa henti di dalam terowong sempit dan batuan poros sebelum akhirnya menemui dan mengenal pasti mangsa terakhir awal pagi semalam.

“Kami terus berkabung bersama keluarga walaupun ketika kami menutup peristiwa ngeri insiden Big Gossan,” kata Rozik B. Soetjipto, pengarah syarikat.

“Masih banyak kami perlu lakukan untuk menyediakan penjagaan terbaik dan sokongan buat mangsa yang cedera dan keluarga yang berkabung.”

Hormati mangsa

Operasi di lombong Grasberg, milik Freeport-McMoRan Copper & Gold Inc berpusat di Phoenix, Arizona, digantung operasi sejak kemalangan untuk menghormati mangsa dan memberi tumpuan usaha menyelamat.
Syarikat berkata ia menjangka kemalangan itu tidak memberi kesan ketara terhadap operasi satu daripada pengeluar tunggal terbesar dunia emas dan tembaga.

Di ibu kota Jakarta, Richard Adkerson, presiden dan ketua eksekutif Freeport-McMoRan berkata syarikat akan mengambil semua langkah diperlukan untuk menjamin keselamatan pekerjanya.

“Kami mengakui ini adalah tanggungjawab kami dan kami perlu bertanggungjawab serta merta,” kata Adkerson dalam sidang media di pejabat kementerian tenaga dan perlombongan Indonesia. - AP 

No comments:

Post a Comment