Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Macam cerita koboi



Nibong Tebal: Empat rakan yang baru 150 meter keluar dari dewan selepas meraikan majlis perkahwinan saudara seorang daripada mereka, dikejutkan dengan beberapa das tembakan hingga menyebabkan dua daripadanya maut.

Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat berhampiran simpang Bukit Tambun-Batu Kawan, di sini, jam 10.30 malam itu turut menyebabkan dua lagi parah.


Kedua-dua lelaki yang maut itu dikenali sebagai G Suresh, 28, dan S Kannan, 37, yang masing-masing mengusahakan kedai gunting rambut dan syarikat kawalan keselamatan.

Sementara itu, A Marappan, 67, dan V Ravi, 40, parah dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan stabil.


Keempat-empat mangsa yang juga kenalan rapat itu dikatakan dari majlis perkahwinan saudara Suresh di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mahu pulang ke Melaka.


Bagaimanapun, sebaik tiba di lampu isyarat berkenaan, sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dikatakan menghampiri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa sebelum pemboncengnya melepaskan beberapa das tembakan.

Kannan yang memandu kenderaan berkenaan dan Suresh yang berada di tempat duduk hadapan meninggal dunia sejurus tiba di HSJ selepas mengalami kecederaan di badan dan kepala, manakala Marappan serta Ravi pula cedera terkena tembakan di bahagian tangan dan badan.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, maklumat yang diperoleh semua mangsa itu berasal dari Melaka dan mereka ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis perkahwinan berkenaan.

Menurutnya, dua lelaki maut itu dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan rusuhan dan mencuri di dalam bangunan.

No comments:

Post a Comment