Lelaki terlepas tali gantung
Tertuduh dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
KOTA BHARU -Seorang lelaki warga Thailand menangis selepas dihukum penjara enam tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana miliki dadah, tahun lalu.
Hukuman diputuskan Hakim Datuk Azman Abdullah terhadap Abdulloh Wachi, 20, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa pada pertuduhan pindaan pertama memiliki 15.56 gram heroin di sebuah rumah di Kampung Parit Air Banggol Kulim, Rantau Panjang, 13 Julai.

Bagi tuduhan itu, dia dikenakan hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan.

Sementara, pada tuduhan kedua pada masa, tarikh dan lokasi sama, Abdulloh dihukum tiga tahun penjara dan tiga sebatan setelah mengaku memiliki 591 pil mengandungi 8.67 gram dadah metamphetamine.

Azman dalam keputusannya mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan dan menasihatkannya supaya mengambil iktibar agar tidak terlibat dengan kesalahan sama pada masa depan.

“Kamu bernasib kerana dikurangkan hukuman daripada tuduhan asal mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati.

“Saya percaya penglibatan kamu pada usia muda kerana terpengaruh mahu untung cepat, namun ia tidak berbaloi dengan apa yang kamu lalui sekarang,” katanya.

Sejurus hukuman diputuskan, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob menarik balik tuduhan ke atas kekasih Abdulloh, berusia 16 tahun yang dituduh bersamanya mengedar dadah berkenaan. Tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Shukri Muhamed.

Dadah dijumpai dalam dua bungkusan surat khabar Thailand di dalam almari di rumah milik ibu kekasih Abdulloh pada jam 7.05 pagi. Serbuan dijalankan anggota Pasukan Gerakan AM, Kem Galing Kuantan.