Search This Blog

Thursday, May 23, 2013

Lelaki minta wang perlindungan dicekup


Kuala Lumpur: Mereka dipaksa membayar RM500 setiap bulan sejak setahun lalu kononnya bagi bayaran kawalan keselamatan kepada puluhan peniaga di Bandar Tun Razak, di sini, daripada diganggu kumpulan penjenayah.

Sekiranya enggan, lelaki berusia lewat 20-an itu yang dibantu beberapa konconya akan memecahkan kedai dan mengganggu perniagaan mereka.


Tidak tahan diperlakukan demikian, seorang daripada puluhan peniaga itu tampil membuat laporan polis sebelum dia dan pihak berkuasa bekerjasama bagi mengatur perancangan memerangkap lelaki terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin, lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa ketika datang mengambil wang perlindungan itu bersendirian.


Menurut sumber, suspek tidak mengetahui dia sebenarnya diperangkap peniaga terbabit yang sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa. Beliau berkata, sebelum itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, mendakwa dia dan peniaga lain di sekitar kawasan berkenaan dipaksa membayar wang perlindungan oleh seorang lelaki.


“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa dipaksa membuat bayaran berkenaan sejak setahun lalu dan jika enggan, perniagaan mereka akan diganggu termasuk kedai dipecahkan selain kemungkinan dicederakan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dengan kerjasama pihak berkuasa kemudian menyusun strategi bagi memerangkap lelaki terbabit.


“Kelmarin, ketika mangsa datang mengambil wang berkenaan, beberapa anggota polis berpakaian preman bersedia di sekitar kedai milik mangsa.

“Ketika suspek keluar dari kedai mangsa selepas mendapatkan wang berkenaan, dia segera ditahan,” katanya.


Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment