Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan
Lee Ying En
Lelaki dakwa hospital cuai sebab kematian bayi 14 bulan
Sing Loong dan isterinya Yan Hua menunjukkan imbasan X-tray dan laporan polis berhubung dengan kejadian malang yang meragut nyawa bayi perempuan mereka.
KUANTAN- Sepasang suami isteri dari Taman Jaya, Kampung Jawa di sini tidak berpuas hati dengan perkhidmatan sebuah hospital kerajaan sehingga menyebabkan bayi perempuan mereka meninggal Ahad lalu.
Lee Sing Loong, 40, dan isterinya, Lu Yan Hua, 37, mendakwa kecuaian pihak hospital merawat bayi mereka  Lee Ying En, 14 bulan yang pada mulanya disahkan demam dan batuk biasa sedangkan sudah sebulan mereka mendapatkan rawatan di hospital itu.
Menurutnya, walaupun pelbagai ujian telah dilakukan ke atas anaknya itu, pihak hospital masih mengatakan anak mereka demam biasa.

Sing Loong yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kali pertama anak keduanya itu dimasukkan ke wad hospital berkenaan selama seminggu bermula 3 April lalu.
"Balik ke rumah dia demam semula sebelum dia dimasukkan semula ke wad pada 16 hingga 22 April dan 28 hingga 30 April dengan pelbagai ujian dilakukan termasuk pemeriksaan x-ray, darah dan air tulang belakang, namun saya hanya dimaklumkan dia demam biasa.

"Saya tidak sedap hati lalu membawa anak saya ini ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan pakar dan doktor di sana mengesahkan sebahagian paru-paru anak ada jangkitan kuman,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, dia segera membawa anaknya kembali mendapatkan rawatan lanjut di hospital kerajaan akibat kekangan kewangan untuk meneruskan rawatan di hospital swasta dan bayi berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Sejak ditempatkan di ICU pada Khamis lalu suhu badannya tidak pernah turun iaitu 39 darjah celcius dan akhirnya dia meninggal pada pukul 7.22 petang semalam (Ahad).
"Saya kecewa kerana jururawat dan doktor tidak profesional dan saya juga percaya masalah ini berpunca kerana isteri yang menjaga anak tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa
Melayu kerana berasal dari Shenzen, China.

"Isteri beritahu setiap kali dia panggil jururawat mereka tidak menghiraukannya kerana mungkin tidak faham apa yang diperkatakannya,” jelasnya sambil memberitahu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada jam 11.31 malam, semalam.

Tambahnya, dia mahukan penjelasan daripada pihak berkenaan kerana mereka tidak memaklumkan sebarang penyakit yang serius melainkan demam biasa sedangkan laporan hospital swasta sebaliknya.

Nasib Sing Loong mendapat perhatian daripada Adun Teruntum Sim Chon Siang dan beliau turut kesal jika kejadian ini berlaku disebabkan oleh kecuaian pihak hospital.

Sementara itu juga, beliau juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan hospital berkenaan untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku serta berharap agar ia tidak terjadi kepada orang lain.