Search This Blog

Sunday, May 19, 2013

Lebih 40 hektar hutan musnah di Dungun akibat pembakaran terbuka



DUNGUN: Lebih 40 hektar kawasan hutan dan belukar di kawasan Kuala Abang di sini, musnah dalam kebakaran selama 12 jam dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah secara terbuka, sejak 2 petang, semalam.

Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun, Abdullah Ahmad, berkata kebakaran yang bermula di kawasan lapang di Kampung Kuala Abang itu merebak sejauh lapan kilometer sehingga ke Kampung Rhu Batil di sini.
"Kebakaran ini menyebabkan sebahagian kawasan tanah pertanian dan tanah individu serta rizab kerajaan musnah.

"Kita mengalami beberapa kesulitan semasa operasi tetapi kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 2 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Abdullah pihaknya mengambil tempoh lama bagi mengawal kebakaran berikutan faktor cuaca panas dan berangin yang menyukarkan kerja memadam kebakaran.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiga jentera bersama 23 anggota dari Balai Bomba Dungun, Paka dan Marang dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
"Semasa kami tiba, api agak besar dan merebak dengan cepat disebabkan kawasan ini berangin dan terdapat pokok-pokok kering di kawasan sekitar yang memudahkan api merebak.

"Api perlu dipadamkan sepenuhnya bagi mengelak kebakaran ini daripada berulang kerana ia membabitkan tanah jenis pertanian," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment