Lebih 100 terperangkap bangunan runtuh di Rwanda
Orang awam membantu menyelamatkan mangsa di kawasan runtuhan di Kigali, Nyagatare.
KIGALI - Sekurang-kurangnya 100 orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan empat tingkat yang masih dalam pembinaan, di daerah Nyagatare timur Rwanda, semalam.

Kejadian berlaku lewat petang itu mengakibatkan bangunan dan kereta di kawasan berhampiran turut mengalami kerosakan teruk manakala puluhan ambulans dilihat berada di lokasi kejadian.

Menteri Pengurusan Bencana Rwanda, Seraphine Mukantabana berkata, jumlah tersebut bagaimanapun masih belum disahkan dan lebih 50 anggota penyelamat  telah memulakan operasi mencari dan menyelamat.

“Kami belum menerima angka korban sebenar. Semua unit perubatan, bomba dan polis sedang giat mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan secepat mungkin,” katanya dalam laporan AFP.

Sementara itu, jurucakap polis, Theos Badege berkata, tiga orang disahkan terbunuh, manakala 21 yang lain cedera.

“Mangsa korban merupakan pekerja binaan manakala mangsa cedera adalah orang awam yang kebetulan berada berhampiran di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, punca runtuhan masih belum dikenal pasti.