Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Lawan lelaki berpistol



Johor Bahru: “Tiga anak saya mengejar lelaki itu untuk menangkapnya kerana dia dipercayai cuba mencuri kereta kami. Malangnya lelaki itu mengacukan pistol sebelum dia bersama dua rakan menyerang menggunakan parang menyebabkan tiga anak saya parah ditetak,” kata Chia, 61, menceritakan kejadian serangan bersenjata di depan rumahnya di Taman Impian Emas di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga anak lelaki Chia berusia 26, 28 dan 36 tahun, terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Kempas kerana cedera parah di tangan kiri dan dahi akibat ditetak.


Chia berkata, sebelum kejadian dia terjaga pada jam 3 pagi dan ke dapur untuk mencari makanan apabila terdengar bunyi bising di luar lalu menyelak langsir dan meninjau dari tingkap.

“Saya terkejut melihat seorang lelaki berdiri di luar rumah lalu mengejutkan tiga anak yang tidur di bilik masing-masing.


“Tiga anak saya mengejar sambil menjerit ke arah lelaki berkenaan yang disyaki cuba memecah masuk rumah kami,” katanya.


Menurutnya, mereka hanya mahu menangkap lelaki itu dan menyerahkannya kepada polis, namun sebaliknya berlaku apabila lelaki berusia 30-an itu mengacu pistol ke arah mereka.

Katanya, ketika itu lelaki berkenaan terjatuh sebelum bangkit dan memberi amaran kepada anaknya supaya berundur.


“Melihat keadaan itu, tiga anak saya lari ke hadapan rumah sebelum sebuah kereta Honda Civic putih menghampiri mereka.

“Saya terkejut apabila lelaki berkenaan serta dua lagi lelaki keluar dari kereta dan menyerang tiga anak saya menggunakan parang menyebabkan berlaku pergelutan. Dua anak saya sempat berlindung di dalam rumah dan mengunci pintu manakala seorang lagi anak bersembunyi di rumah jiran,” katanya.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 20 minit dan ketika itu penjenayah terbabit menjerit menyuruhnya menyerahkan kunci kereta, tetapi mereka tidak mengendahkannya manakala beberapa jiran yang terjaga, menghubungi polis sebelum penjenayah itu melarikan diri.


“Akibat serangan itu, semua tiga anak saya kini mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Kempas,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.


“Siasatan awal dan maklumat diberikan mangsa, kami berjaya mengenal pasti tiga suspek dan usaha mengesan mereka kini giat dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment