Lans Koperal mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan
Tertuduh (dua, kanan) keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah, semalam
KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan cedera ke atas seorang peniaga dengan cara melepaskan tembakan, tiga tahun lalu.
Anggota cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada Sallehudin Daud, 28, dengan melepaskan tembakan dari sepucuk senjata jenis P99 tanpa alasan yang sah.

Nazree Rahim, 40, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 3.30 pagi, di kedai cuci kereta miliki mangsa di Jalan Kebun Sultan di sini, 20 September.

Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Majistret Nik Habri Muhamad kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000.

Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya jaminannya dikurangkan kerana sejak kejadian itu dia ditahan kerja dan hanya berniaga di pasar malam bersama isteri serta masih menyara tujuh anak yang bersekolah.

Dakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nur Liyana Md Zukri mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes bersambung  13 Jun depan.