Search This Blog

Tuesday, May 14, 2013

Lagi dua lelaki ditembak mati




Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my

ANGGOTA polis memeriksa trak pikap jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa yang ditembak oleh dua suspek bermotosikal di persimpangan lampu isyarat di Bukit Tambun, Batu Kawan, malam semalam.
BATU KAWAN 13 Mei - Kira-kira 24 jam selepas seorang pembantu kedai barang lusuh maut ditembak di Lunas kelmarin, dua lagi lelaki menerima nasib sama selepas ditembak dua suspek di Bukit Tambun di sini malam tadi.

Kejadian itu merupakan kali keenam insiden tembakan dalam tempoh seminggu berlaku di seluruh negara mengakibatkan enam maut.

Dalam kejadian terbaharu itu, kedua-dua mangsa mati akibat ditembak dua lelaki bermotosikal ketika trak pikap jenis Toyota Hilux dinaiki mereka berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Bukit Tambun.

Dua lagi penumpang kenderaan itu turut parah terkena tembakan.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, semasa kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah dewan di kawasan itu.

Beliau berkata, tiba-tiba muncul sebuah motosikal yang dinaiki dua suspek lelaki memakai topi keledar dan melepaskan tembakan dari arah kiri kenderaan.

"Tembakan itu mengenai pemandunya, S. Kannan, 37, dari Batu Berendam, Melaka dan G. Suresh, 27, (Bukit Beruang, Melaka) di beberapa bahagian badan dan mereka mati ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ)

"Dua lagi rakannya dikenali sebagai Ravi, 38, dan Mariappan, 58, yang cedera di tangan kiri dan bahu kanan dirawat di hospital sama dan kini kritikal," katanya dalam sidang akhbar di tempat kejadian.

Abdul Rahim berkata, siasatan polis menemui empat butir kelongsong peluru di tempat kejadian dan percaya suspek menggunakan pistol jenis automatik.

Katanya, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Menurut beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Abdul Rahim meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130514/je_01/Lagi-dua-lelaki-ditembak-mati#ixzz2TEvefbqL
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment