K Manoharan
K Manoharan
KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera apabila dirempuh salah seorang daripada kumpulan ‘kaki samseng’ semasa sedang menjalankan tugas di Kampung Bukit Putera, Setiu, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, 40-an, bersama rakan setugasnya yang berpangkat lans koperal, 48, dari Unit Peronda MPV, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bagaimanapun, semasa tiba di kawasan hutan berhampiran, dua anggota itu telah terserempak dengan sekumpulan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus menyedari kehadiran kereta peronda polis, kumpulan lelaki itu terus melarikan diri masuk ke dalam hutan berhampiran sebelum anggota kami mengambil keputusan meneruskan rondaan menghala ke Kampung Telaga Papan, di sini.

“Namun, setibanya berhampiran Ladang Tabung Haji, mereka dapati terdapat dua buah motosikal yang dipercayai daripada kumpulan tadi telah mengekori dari belakang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, melihatkan gelagat dua lelaki itu yang sengaja ‘mempersendakan’ kehadiran polis, anggota tersebut memberhentikan kenderaan sebelum mangsa keluar menghampiri mereka.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada lelaki itu memecut motosikal ditunggangnya lalu dengan sengaja merempuh mangsa sebelum bertindak cuba melarikan diri.

“Tetapi, suspek gagal berbuat demikian selepas rebah apabila gagal mengawal motosikal itu, manakala seorang lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Jelas Manoharan, akibat rempuhan yang kuat itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala, tangan serta kaki.

“Mangsa yang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Setiu telah pun dibenarkan pulang,” katanya.

Menurut Manoharan, siasatan awal mendapati suspek, 30, dari Kampung Telaga Papan, Setiu itu merupakan salah seorang ahli kumpulan ‘kaki samseng’ yang dipercayai bergiat aktif dalam pelbagai jenayah di sekitar daerah Setiu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.